Adakah penggunaan ubat sedut (inhaler) untuk pesakit lelah (asthma) membatalkan puasa?
Soalan ini selalu diajukan setiap kali kedatangan bulan ramadhan. Ramai bertanya kpd saya di whatsapp, fb, dan twitter tentang penggunaan inhaler/ubat sedut untuk asthma batal puasa atau tidak. Saya sebenarnya bukanlah orang yang sesuai untuk menjawab kerana bukan seorang ustaz tetapi memandangkan saya seorang doktor muslim maka seharuskan saya juga menerangkannya demi memberi rawatan kepada pesakit saya.
Sebenarnya banyak perbezaan atau perselisihan pendapat diantara ulama2 fekah tentang penggunaan ubat sedut untuk asthma ketika puasa dibulan ramadhan. Ada yang berpendapat ia membatalkan puasa dan ada juga yang kata tidak. Mari kita sama2 hayati pendapat2 mereka.
Pendapat :
Terdapat 2 perbezaan pendapat yang saya akan utarakan iaitu:1) Penggunaan inhaler/ubat sedut membatalkan puasa:
a. Ulama Syafiiyyah (mazahab Syafii) lebih mengambil langkah berhati-hati dan lebih cermat dalam mengeluarkan hukum khususnya dalam penggunaan Inhaler boleh membatalkan puasa ramadhan.
b. Fatwa yang pernah dikeluarkan oleh pihak JAKIM dalam tahun 2009 dan diguna pakai oleh Bahagian Farmasi KKM mengatakan bahawa penggunaan inhaler membatalkan puasa.
2) Penggunaan inhaler/ubat sedut TIDAK membatalkan puasa
a. Ulama Hanafiah, Hanabilah dan Malikiyyah lebih longgar dalam mengeluarkan hukum yang berkaitan membatalkan puasa dibulan Ramadhan. Mereka mengatakan penggunaan inhaler bagi pesakit asthma adalah tidak membatalkan puasa.
b. Keputusan “Seminar Fekah Perubatan ke-9 yang diadakan di Casablanca, Morroco, 8-11 Safar 1418 bersamaan 14-17 Jun 1997. Menurut ahli majlis/peserta seminar tersebut telah sepakat bersetuju bahawa inhaler/ubat sedut untuk pesakit asthma tidak membatalkan puasa.
c. Buku Al-Fatawa Asy-Syar’iyyah Fi Al-Masa’il Al-Ashriyyah Min Fatawa Ulama Al-Balad Al-Haram, edisi Indonesia Fatwa-Fatwa Terkini, Penerbit Darul Haq oleh Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin mengatakan bahawa 'Menggunakan inhaler bagi yang berpuasa hukumnya boleh, sama ada ianya puasa Ramadhan ataupun yang lainnya. Kerana inhaler itu tidak sampai ke perut tapi hanya berfungsi melegakan saluran pernafasan dan penggunaannya pun hanya dengan bernafas seperti biasa. Jadi hal ini tidak seperti makan dan minum'.
d. Saya amat tertarik dalam Buku Fikah Perubatan tulisan Dr Harmy Mohd Yusof yang mengatakan penggunaan inhaler TIDAK membatalkan puasa.
e. Dalam buku Isu-isu perubatan dan hubungannya dengan perkara-perkara yang membatalkan puasa diterjemahkan oleh Prof Madya Dr Basri Ibrahim dari tulisan asal Al-Syeikh Ahmad bin Muhammad Al-Khalil juga mengatakan penggunaan inhaler/ubat sedut TIDAK membatalkan puasa.
f. Pendapat2 lain antaranya dari IOMS (Islamic Organization for Medical Sciences), The Akademi Fiqh di Jeddah dan WHO, Figh As-sunnah (Sayyid as-Sabiq), dan fatwa dikeluarkan oleh Yusuf Al-Qaradhawi bersama Majlis Fatwa Eropah juga menyatakan penggunaan inhaler/ubat sedut bagi pesakit asthma TIDAK membatalkan puasa.
Rumusan :
Saya mengambil pendekatan dari segi perubatan dan perawatan bersetuju dengan pendapat kedua dari ulama2 mutakkir yang mengatakan penggunaan inhaler atau ubat sedut untuk pesakit asthma tidak membatalkan puasa.Ini dapat dijelaskan dengan ulasan2 dan kajian dari Dr. Khalid bin Abdullah Al-Muslih yang mengatakan bahawa:
Semua jenis penggunaan inhaler dengan pelbagai jenisnya, termasuk yang menggunakan debu yang disedut melalui mulut atau hidung, semuanya tidak membatalkan puasa menurut pendapat yang rajah (kuat hujjahnya).
Alasan Hukum:
1. Sedutan yang dilakukan pergi ke bahagian pernafasan, bukan pergi ke saluran makanan dan minuman.
2. Kalaupun ada yang termasuk ke saluran makanan ianya adalah terlalu sedikit, tidak lebih pada kebiasaannya debu-debu yang masuk melalui pernafasan (Fiqh Syafieyyah mengatakan: “Sekiranya lalat atau nyamuk, atau debu jalan masuk ke dalam al-Jauf, maka puasa TIDAK batal. Ini kerana untuk menghindarinya adalah tersangat susah (masyaqqah). Begitu juga dengan menelan air liur.”
3. Debu ubat itu tidak dikira sebagai sejenis makanan dan minuman, atau yang bermakna sejenis makanan.
4. Berpegang dengan hukum Asal, bahawa puasa seseorang itu tidak batal sehingga ada dalil yang menentukan perkara itu batal.
Semoga tulisan saya ini memberi manfaat kepada kita semua khususnya pesakit asthma (termasuk saya).
Wallahu a’lam
Dr Ahmad Zakimi Abdullah
Pegawai Perubatan Kecemasan
Rujukan:
1) e-fatwa JAKIM
2) http://suhazeli.com/wp/?p=680
3) https://www.facebook.com/ahmadzakimiabdullah/posts/1325838530763783
post asal Dr Ahmad Zakimi
4) Buku Fekah Perubatan
5) Isu-isu perubatan dan hubungannya dengan perkara-perkara yang membatalkan puasa diterjemahkan oleh Prof Madya Dr Basri Ibrahim
6) http://ar.islamway.net/fatwa/33639
7) http://majles.alukah.net/showthread.php?63364-بخاخ-الربو-للصائم
Terima kasih kerana membaca Penggunaan Ubat Sedut (Inhaler) Pada Bulan Puasa.
0 Response to "Penggunaan Ubat Sedut (Inhaler) Pada Bulan Puasa"
Catat Ulasan